Monday, March 26, 2012

MUTIARA

ZAHARAH bungkam dalam panahan mata Syamsul. Dirinya bagai sudah terkepung oleh pandangannya yang seolah-olah cuba menyelami hatinya. Dia menguatkan hati daripada tewas oleh pandangan redup seperti itu.
“Tegak. Jangan bergerak lagi,” arah Zaharah dengan suara kecilnya. Dia digigit resah yang bukan kepalang. Lelaki di hadapannya itu sudah seminggu memburunya, tetapi atas kebijaksanaannya bermain helah, dia berjaya meloloskan dirinya daripada ditemui lelaki itu. Tetapi pada hari ini dia kecundang. Lelaki itu lebih pantas memintas helahnya yang tersusun rapi.
“Katakanlah. Aku mendengar,” arahnya lagi.
Lama Syamsul merenung sepasang mata milik Zaharah sehingga wanita itu menjadi tidak keruan. Dia menarik nafas sedalam yang mungkin. Dia memerlukan ketenangan. Bukan mudah untuk berhadapan dengan Zaharah. Jika langkahnya sedikit canggung, dia tidak akan dapat bersua empat mata dengan Zaharah. Wanita itu sudah seminggu mengelabui pandangan matanya dengan helah liciknya.
“Kenapa kau lari dari aku? Salahkah aku berterus terang? Aku boleh berubah jika kau mahu.” Syamsul menggeleng laju. “Aku akan berubah. Aku akan berubah demi kau.” Syamsul berkata penuh yakin. Dalam hati kecilnya, dia memasang azam. Dia mahu berubah menjadi seorang lelaki yang diberkahi Allah. Bukan seperti dulu.
Zaharah hilang punca. Dia mengeluh panjang. Kepalanya ditundukkan seperti selalu, menekur kosong pada tanah. Bukan dia tidak percaya akan kata-kata lelaki itu, tetapi sejarah hidup lelaki itu yang menyebabkan pelbagai persoalan dan tanggapan bermukim di lautan fikirannya. Lelaki di hadapannya itu bukanlah seorang lelaki sejati pada pertama kali berjumpa empat mata.

Detik itu takkan dilupakan sama sekali. Masih tertayang jelas dalam kotak ingatannya pada hari pertama Zaharah bertemu kembali dengan rakan lamanya, Nabihah. Nabihah telah memperkenalkannya dengan seorang lelaki. Nyata jiwa Zaharah dihambat oleh satu perasaan yang sukar dimengertikan.
Mata Zaharah tajam mencerun dari atas kepala sehingga hujung kaki lelaki itu. Rambutnya yang agak panjang tersisir rapi. Wajahnya putih bersih dengan bibirnya yang merah. Jika terdapat perempuan yang lalu lalang, pasti akan terpikat oleh kekacakan wajah Melayu yang dimilikinya. Tetapi, terdapat subang di telinga kirinya. Pandangannya jatuh pada tangannya yang kemas memeluk tubuh. Kakinya pula dikenakan seluar jeans jenis wanita. Ditarik pandangannya ke atas kembali. Dia hanya memakai baju kemeja tanpa kolar berwarna biru lembut. Matanya pula tercalit sedikit celak hitam.
“Kenapa kau tengok aku begitu?” soal lelaki itu tiba-tiba.
Beberapa detik, Zaharah tercengang sebaik suara lelaki itu menyapa gegendang telinganya. Suaranya sangat lembut. Dia ni lelaki ataupun perempuan? Tetapi yang lebih penting, adakah dia ini Islam ataupun bukan? Sekiranya dia Islam, dia sudah sepatutnya maklum tentang hukum syariah.
“Aku perkenalkan. Nama dia Syamsul, panggil Sue saja.” Nabihah memperkenalkan Syamsul kepada Zaharah.
Zaharah masih diam seribu bahasa. Seperti ada batu yang menindih lidahnya untuk petah berkata seperti selalu. Otaknya ligat memikirkan seribu satu macam aral.
Syamsul menghulurkan tangan kanannya untuk berjabat tangan sebagai tanda perkenalan. “Hai, saya Sue,” ujarnya.
Namun, tangan lelaki itu dibiarkan sepi. Zaharah hanya memandang kosong tangan itu. Dia menarik nafas untuk merendahkan darjah kekecewaannya. Dia kecewa kenapa orang zaman ini sudah lupa asal usul dan jati diri. Malah tidak tahu bersyukur dengan fitrah yang telah Allah kurniakan ini. Amat payah baginya untuk mengukir senyuman, tetapi digagahkan jua. Akhirnya, senyuman hambar berjaya dicalitkan dari bibir halusnya.
“Saya Zaharah.” Dia hanya menundukkan kepalanya sebagai tanda perkenalan.

KINI sudah lebih tiga tahun mereka berkenalan. Dia sudah tidak kekok lagi dengan Syamsul. Malah, lidahnya sudah terbiasa memanggil Syamsul dengan nama Sue.
“Aku selesa hidup seperti ini. Emak aku tidak pernah melarang bagaimana aku hendak menentukan hidupku,” kata Syamsul suatu masa dulu.
Malah menurutnya, dia menghidap sejenis penyakit iaitu Gangguan Pengenalan Jantina. Penyakit ini yang memaksa Syamsul untuk menjadi seperti perempuan. Ujarnya lagi, menjadi perempuan membuatkan dirinya berasa lebih selesa. Setelah sekian lama bergelumang dengan dunia wanita, dia akur dia memang ditakdirkan sebagai salah seorang golongan Hawa.
Ada kalanya simpati Zaharah bertunas di tangkai hati. Hidup Syamsul umpama kapal yang tiada nakhoda di tengah samudera yang berombak ganas. Andai suatu hari nanti, Syamsul mendapat nur daripada Ilahi, Zaharah ingin sekali menghulurkan tangan dan membantunya kembali ke jalan yang lurus.
“Ya Allah, ampunilah dosa-dosa Syamsul. Dia lelaki yang baik. Dia cuma tersalah melalui lorong yang telah Engkau sediakan di hadapannya. Kau berikanlah petunjuk dan hidayah-Mu kepadanya supaya dia hidup dengan mendapat keredaan-Mu, ya Allah. Sesungguhnya hidayah itu adalah milik-Mu Yang Maha Agung.” Setiap hari Zaharah mendoakan yang baik-baik untuk Syamsul agar lelaki itu dapat menjumpai sinar hidupnya yang kelam. Zaharah pasti Allah akan membantunya.
Kejadian itu berlaku hampir dua bulan lepas. Pen Zaharah terjatuh dari bangunan tempat belajarnya di tingkat tiga. Habis saja kelas, Zaharah terus ke belakang bangunan untuk mencari pennya yang terjatuh. Pen itu merupakan hadiah pemberian abangnya sebelum abangnya merentas benua ke Ireland untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran. Sewaktu dia menjumpai pen tersebut, pen itu sudah basah kerana terjatuh di dalam longkang. Walau apa pun, Zaharah bersyukur kerana pen tersebut masih elok dan tidak apa-apa.
Sewaktu dia hendak beredar dari kawasan yang sunyi itu, dia terdengar suara seperti sedang berbual. Sayup-sayup suara itu menampar telinganya. Dia cuba memasang telinga akan perbualan mereka. Zaharah menekup mulutnya. Dia beristighfar kuat di dalam hati. Dia menarik nafas sedalam yang mungkin. Berbagai-bagai perasaan buruk menerjah ke benaknya. Seperti magnet kakinya tiba-tiba bergerak sendiri. Dia berjalan ke arah suara yang sayup-sayup itu. Dia mahu memastikan sama ada jangkaannya tepat ataupun dia tidak.
Nyata apa yang didengarinya bukanlah mimpi di siang hari. Dia terlihat Syamsul sedang berlaku sumbang dengan seorang lelaki lain di suatu kawasan tertutup di bahagian belakang bangunan tempat belajar Zaharah tidak jauh dari tempat pennya terjatuh tadi. Hampir saja mutiara jernihnya jatuh dari tubir matanya menyembah bumi. Dia tidak menyangka Syamsul seburuk itu.
Beberapa detik, Zaharah dan Syamsul bersabung pandang. Dunianya seolah-olah berhenti berputar. Zaharah cuba menangkis akan apa yang dilihat, tetapi ianya memang benar belaka. Dia tiada berdaya untuk menafikannya. Akhirnya Zaharah terus meninggalkan Syamsul dengan lelaki itu. Hancurnya hati Zaharah pada ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Dia mahu membantu Syamsul kembali ke jalan Allah, tetapi Syamsul sendiri yang tidak mahu berubah malah berlaku sumbang dengan orang yang sejenis dengannya. Harapan yang dibinanya bersepai sudah. Nauzubillah!

NABIHAH bangkit dari kerusi selepas meminta diri ke tandas. Tinggallah Zaharah dan Syamsul di meja kafe itu. Sejak peristiwa itu, Zaharah dan Syamsul langsung tidak bertegur sapa, malah berlawan pandang pun tidak walaupun mereka berjumpa pada setiap hari selepas mereka bertiga habis kelas atau kuliah untuk makan tengah hari di kafe.
Lama Zaharah dan Syamsul membatukan diri tanpa sebarang kata. Kebisuan Zaharah membuatkan Syamsul tidak senang duduk. Syamsul meneroka setiap inci rona wajah Zaharah, mengumpul kekuatan untuk mengeluarkan butir bicara.
“Zaharah, aku mahu bercakap sesuatu pada kau.” Akhirnya Syamsul menyingkap butir bicara memecah kesunyian yang lama bertamu antara mereka.
Zaharah tetap bermuka tegang tanpa sebarang riak yang menunjukkan dia berminat tentang apa yang akan Syamsul sampaikan. Lelaki durjana sepertinya memang sudah tidak dapat ditolong lagi. Biar dia saja yang menolong dirinya sendiri. Zaharah sudah putus asa. Setiap hari dia berdoa untuk lelaki itu. Dia hanya mahu Syamsul kembali menjadi lelaki. Bukannya mengubah fitrahnya. Rasa benci dan meluat terbuku di dalam hatinya setiap kali dia terpandang wajah Syamsul.
“Aku minta maaf atas apa yang berlaku. Aku tak berniat nak lukakan...” Kata-kata Syamsul mati di situ apabila Zaharah memintas kata-katanya.
“Kau tak perlu minta maaf pada aku. Kau sepatutnya memohon pengampunan daripada Allah sebab aku tak berhak nak berikan kau pengampunan tu. Dan kau juga sepatutnya dah tahu dari awal lagi apa yang kau buat tu sememangnya melanggar fitrah manusia.” Lancar sekali Zaharah melontarkan isi hati yang terbuku selama ini.
Syamsul tertunduk. Dia tidak pasti apa yang telah membuatkannya tiba-tiba berasa lain ketika dia terlihat Zaharah beberapa minggu lepas. Dia nampak air mata Zaharah yang mencederakan kebeningan wajahnya yang putih bersih itu. Kerunsingan semakin membelit jiwanya sebaik dia tiba di rumah. Dia seperti dipagut satu perasaan yang dia tidak pasti.
“Aku rasa aku dah jatuh cinta pada kau.”
Segaris ayat itu membuatkan Zaharah bingkas bangun dari kerusi. “Kau gila!” Tajam matanya menembusi bebola mata Syamsul yang jelas terpamer sinar keikhlasan. Zaharah mengeraskan hati. “Aku tak mahu berkawan dengan lelaki gay.”
Sejurus selepas itu Zaharah terus meninggalkan Syamsul sendirian.

SYAMSUL bangkit dari pembaringan. Dia mengusap mukanya berkali-kali. Dia tidak dapat lena barang sepicing pun. Hatinya kian dibalut debar. Dia sendiri tidak pasti mengapa. “Aku tak mahu berkawan dengan lelaki gay.” Balingan kata-kata nista Zaharah sering kali bermain di kotak fikirannya. Hatinya sedikit membengkak dengan kata-kata itu. Benarkah dia sudah jatuh cinta pada Zaharah?
“Aku tengok kau sekarang asyik diam saja, Sue. Bapuk macam kau pun ada masalahkah? Cuba kau cerita pada aku,” ujar Nabihah pada suatu hari.
Sebetulnya, memang Syamsul ada masalah dalaman. Dia tidak mampu untuk mengolah apa masalahnya. Setiap hari dia diburu resah dan gelisah yang bukan kepalang. Lebih-lebih lagi perkataan ‘jatuh cinta’ itu meluncur dari bibirnya beberapa hari lepas. Dia tidak pasti adakah itu cinta? Selepas peristiwa Zaharah melihat tingkah nanarnya, gambaran wanita itu asyik menari di mindanya.
“Aku tak ada masalah apa-apa.”
Dahi Nabihah berkerut seribu. “Kenapa suara kau dah tak macam dulu?”
Syamsul menoleh. “Tak macam dulu? Maksud kau?”
Nabihah mengoyak senyum sinis. Dia tidak berkata apa-apa tetapi memandang Syamsul dari atas hingga bawah dengan pandangan yang sungguh pelik.
“Kau... dah berubah. Baju kau dah berkolar. Kau dah tak pakai celak. Subang pun kau dah tanggalkan...” Nabihah diam sebentar. Seolah-olah berfikir. “Kau dah ada teman wanitakah?”
Itulah perasaan yang paling sukar untuk diselami. Sifat keperempuanannya bagaikan sudah hilang. Entah ke mana. Sudah seminggu tidurnya bersulamkan mimpi tentang Zaharah. Sudah seminggu juga dia tidak bersua muka dengan wanita yang semakin mendapat tempat di hatinya itu. Kecantikan wajah Zaharah sering menari lincah dalam bayangannya. Semuanya berlaku setelah peristiwa di kafe itu.
Kedua-dua ulas bibirnya menguntumkan senyuman tawar. Kalau benar sekalipun dia telah jatuh cinta pada Zaharah, dia pasti wanita itu takkan mahu menerimanya. “Aku tak mahu berkawan dengan lelaki gay.” Kata-kata yang mempusakai saban detik itulah yang membuatkan dia benar-benar yakin bahawa Zaharah sekarang sedang mengumpul kebencian terhadapnya. Tambahan pula, Zaharah itu alim dan sopan orangnya. Bukan sepertinya. Secalit ilmu Islam pun dia tidak ada di dadanya. Selalu dia nampak Zaharah keluar dari surau. Tapi, dia tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke dalam rumah suci itu. Terasa dirinya terlalu kerdil di mata wanita bernama Fatma Al-Zaharah binti Abdul Jalil itu.
Dia nekad, esok dia akan mencari wanita itu bagi menghilangkan segala kekusutan yang kian bersarang di jiwanya ini.

ITULAH yang berlaku apabila dia sudah bersedia hendak berjumpa dengan Zaharah. Wanita itu asyik mengaburi matanya dengan gaya liciknya yang hanya dia sahaja yang tahu. Namun, dia takkan sekali-kali mengangkat bendera putih.
 “Kenapa kau lari dari aku? Salahkah aku berterus terang? Aku boleh berubah jika kau mahu.” Syamsul menggeleng laju. “Aku akan berubah. Aku akan berubah demi kau.” Syamsul berkata penuh yakin. Dalam hati kecilnya, dia memasang azam. Dia mahu berubah menjalani kehidupan yang normal seperti lelaki lain. Bukan seperti dulu.
Zaharah masih diam membisu tanpa sebarang kata. Dia hanya tunduk menekur tanah. Tanpa disedarinya, Syamsul sudah berada di hadapannya.
“Aku mahu berubah, Zaharah. Aku mahu membimbing kau dalam masjid yang bakal aku bina bersama kau. Tapi, ilmu aku belum cukup sempurna untuk semua itu. Masih banyak lagi belum aku pelajari. Aku ini terlalu jahil.” Syamsul berkata dengan nada sayu.
Zaharah tersepit antara kerisauan fikiran dan rasa hati yang menyesakkan dada. Berani Syamsul mengeluarkan kata seperti itu di hadapannya. Kalau maksud sebenar Syamsul untuk berkahwin dengannya, dia takkan sama sekali mengizinkannya berlaku. Harga dirinya terlalu mahal untuk dicemari oleh lelaki jijik persisnya. Masih adakah perempuan yang sanggup menjadi duri kepada lelaki sepertinya? Lelaki yang pernah ternoda oleh orang yang sejantina dengannya. Sungguh menjijikkan.
Zaharah mengucap istighfar sebanyak mungkin. Dia kembali berpijak di bumi yang nyata. Dia pernah berjanji untuk membantu Syamsul sekiranya lelaki itu mendapat nur suatu masa dulu. Tibalah masanya kini dia pula yang mencari jalan untuk menjauhi lelaki itu. Manusia seperti Syamsul perlukan bimbingan yang mendalam tentang agama Islam yang begitu indah dan sempurna ini. Mungkin Syamsul cuma tersalah pilih jalan sehingga menyebabkan dia terjebak dalam kancah hina seumpama melakukan hubungan sejenis seperti yang pernah dilihatnya dulu.
Hati kecil Zaharah mula berputik yakin. Dia yakin pada keikhlasan dan kejujuran Syamsul. Zaharah membanting sarat keluhan. Dia cuba berlagak tenang.  “Lusa dah mula cuti semester. Aku nak balik Sabak Bernam. Aku nak kau ikut sekali.”
Kata-kata yang melantun dari bibir Zaharah benar-benar masuk ke dalam telinga Syamsul. Kakinya bagai tidak jejak di muka bumi sebaik ucapan itu menerjah gegendang telinganya. Lambat-lambat bibirnya menguntum senyum nipis.
“Terima kasih, Zaharah.”

TEKSI yang dinaiki berhenti betul-betul di hadapan banglo milik keluarga Zaharah. Sebaik loceng bergema di segenap ruang banglo, ummi keluar dari pintu utama. Ummi mengukir senyuman manis kepada anak gadis tunggalnya.
“Anak ummi sihat tak?” tanya ummi semasa berpelukan melepas rindu yang menggunung terhadap anak gadisnya itu. Dialah racun, dialah penawar kepadanya dan suaminya.
“Sihat alhamdulillah. Walid ada?” Zaharah berkata dengan penuh sopan dan lembut.
“Walid tak ada. Pergi masjidlah ke mana lagi. Sekejap lagi dia baliklah tu. Eh, siapa tu?” Ummi baru terpandangkan Syamsul yang berdiri tegak seperti patung cendana di belakang Zaharah.
Zaharah menggaru kepala yang tidak gatal. Umminya sudah memandang dengan pandangan yang tajam. “Dia kawan Adik. Dia minta tolong.”
Zaharah tidak sempat menghabiskan kata kerana kereta walidnya sudah memasuki perkarangan banglo. Zaharah terus mendapatkan walidnya.
“Siapa tu?” Ada getaran di sebalik suara walid. Dia tahu walid tidak suka apabila dia berkawan rapat dengan lelaki ajnabi. Tetapi, dia mahu membantu Syamsul mencari sinar, bukannya dia membawa Syamsul sebagai teman lelakinya.
Zaharah terus mendakap walid. “Walid janganlah marah. Dia minta tolong daripada Adik. Adik kasihan tengok dia. Adik pasti walid dapat tolong dia kembali ke jalan yang benar.” Elok sahaja kata-kata itu keluar dari bibir halus Zaharah.
Perasaan marah terus surut sebaik anak gadis bongsunya mendakapnya. Itu menunjukkan Zaharah tidak bercakap bohong.
“Sudah. Mari angkat barang, bawa dia masuk sekali.”

“KEHIDUPAN saya dari kecil memang tak pernah kenal apa itu solat. Emak saya tak pernah hantar saya ke sekolah agama. Saya cuma belajar agama di sekolah rendah saja. Bila masuk sekolah menengah, saya belajar, tapi kadang-kadang saja. Apabila cikgu menilai dari aspek-aspek yang dikehendaki, saya hanya menurut dalam buku saja. Saya tidak pernah praktikkannya di rumah. Sebab emak saya sendiri tidak pernah mengajar saya untuk buat itu semua. Emak saya selalu balik malam. Emak tidak pernah kisah apa yang saya buat sama ada saya balik rumah ataupun tidak.
Saya mula jadi seperti perempuan apabila saya belajar di pusat pengajian diploma. Ketika itu saya rasa sangat tidak selesa dengan keadaan diri saya sebagai seorang lelaki. Apabila kawan lelaki saya kacau saya, saya mudah melatah macam orang perempuan. Ketika itulah baru saya mengetahui bahawa saya memang sesuai menjadi seorang perempuan.” Syamsul membuka kisah sejarah yang tercoret dalam diari hidupnya satu persatu. Yang lain hanya memasang telinga dengan khusyuk mendengar cerita Syamsul termasuklah Zaharah.
Syamsul tiba-tiba menjatuhkan lututnya di hadapan ayah Zaharah, Abdul Jalil atau lebih selesa dipanggil sebagai Pak Aji. “Pak cik, saya dah jauh sangat terpesong. Saya tak mahu kekal dalam kepompong yang sama, pak cik.” Ada mutiara jernih mengalir dari pelupuk matanya.
Bahu Syamsul disentuh lembut. “Alhamdulillah kau mendapat hidayah daripada-Nya. Betapa besarnya kekuasaan Allah sehingga Dia mampu mengembalikan apa yang kami sendiri tak jangka.” Pak Aji sempat meraup mukanya sebagai penzahiran kesyukuran kepada Yang Maha Besar. “Ikut pak cik naik atas.”
Syamsul bangkit dan mengekori Pak Aji naik ke tingkat atas. Pak Aji membawanya ke sebuah bilik di tengah-tengah ruang tingkat dua itu. Perlahan-lahan daun pintu dikuak. Bilik itu disirami cahaya matahari yang kian mencondong ke ufuk barat.
“Ini bilik solat rumah ni. Kau sangat dialu-alukan ke sini. Ambil buku ni, baca dan fahamkan. Ada apa yang tak faham panggil pak cik di bilik sebelah. Masuk Asar, kita sembahyang,” ujar Pak Aji. Buku di tangannya bertukar ke tangan Syamsul.
Syamsul memandang kosong buku bertajuk ‘Mari Sembahyang (Bagi Lelaki)’ yang sudah agak lama itu. Dia seperti baru mendapat semangat apabila membaca tajuk buku itu. Satu-persatu helaian buku itu dibelek dengan penuh teliti.
Berkat dan kegigihannya belajar untuk menimba ilmu Islam, Syamsul sudah dapat menguasai bacaan dalam solat dan beberapa kalimah dalam al-Quran dalam masa seminggu sahaja. Semuanya kuasa Tuhan, siapa yang sangka.
Suatu petang yang damai, Syamsul duduk berteleku di pangkin di hadapan banglo itu dengan ditemani buku baru yang dibeli oleh Pak Aji bertajuk ‘Andai Tiada Syurga dan Neraka’. Buku itu banyak mengajarnya apa yang benar dan salah di sisi undang-undang dan syariat Islam. Membezakan yang mana intan dan yang mana kaca.  
Kisah silamnya kembali membesar dan menjelajahi benaknya. Alam kanak-kanaknya tidak seperti kanak-kanak lain. Dunianya hanya diulit kesenangan dan tidak perlu berfikir apa-apa mengenai kewajipan. Dia memang tiada ayah sejak kecil. Emak cakap, ayah telah menceraikannya dan emak sudah malas hendak bercakap mengenainya. Jadi, dia tidak mahu bertanya lagi kerana hal itu akan mengundang kemarahan emak.
Sejak kecil dia mengasuh dirinya untuk keluar rumah setiap kali dia kebosanan. Dia keluar melepak di pasar raya dan bermain permainan di kafe siber. Dia tidak pernah berfikir betapa susahnya belajar ilmu untuk mendapat kesenangan hidup pada hari mendatang. Dia dilabel sebagai ‘budak genius’ kerana sehingga sekarang dia memang cepat menangkap apa saja yang diajarkan kepadanya. Tetapi jarang-jarang sekali dia mengamalkannya kerana dia memang tidak pernah terfikir untuk berbuat sedemikian. Ilmu agama yang dipelajarinya dulu hanya tinggal habuk saja di satu sudut di dalam hatinya. Ilmu itu dibiarkan sepi tanpa berusik.
Semasa belajar di pusat pengajian diploma, dia menyedari sifat keperempuanan yang mula terserlah dari satu ceruk di dalam hatinya. Pada mulanya memang itulah yang berlaku. Sehingga dia masuk ke universiti dan berkenalan dengan ramai orang. Entah bagaimana dan mengapa dia sudah mula berjinak-jinak untuk berkenalan rapat dengan lelaki. Sehinggalah dia berlaku sumbang dengan lelaki di tempat terbuka seperti di belakang bangunan. Sebenarnya, sudah acap kali dia melakukannya. Tetapi tiada siapa pun yang dapat menghidu kecuali Zaharah.
Wanita itulah yang telah mengetuk hatinya untuk kembali ke jalan yang diredai Ilahi ini. Syamsul memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dia tidak pergi terlalu jauh ke alam fantasinya bersama orang sejantina dengannya. Kini, dia ialah Syamsul yang baru. Dia mahu menenggelamkan kisah silam itu jauh-jauh dan tidak akan menariknya kembali lagi. Kisah silam itu terlalu pahit untuk diolah semula ke mindanya. Kisah silam itu adalah kesilapannya yang menggunung tinggi. Tiba waktunya untuk dia mencantas gunung itu supaya ia tiada lagi dan akan diganti dengan selautan mutiara yang bersinar.

ORANG ramai sudah memenuhi ruang masjid yang sunyi sedari tadi. Hari ini adalah hari pertama Syamsul menjejakkan kaki ke masjid. Ketenangan mula menyelinap masuk ke setiap rongga badannya tatkala dia melangkah masuk. Dia tidak pernah berasa setenang ini.
“Syamsul.” Panggilan Pak Aji mematikan lamunannya yang jauh entah ke mana. Dia segera melangkah ke arah Pak Aji.
“Ada apa pak cik?” tanyanya.
“Sekarang dah masuk waktu. Pak cik nak kau jadi muadzin.” Permintaan itu dibalas dengan senyuman dan anggukan daripada Syamsul. Dia menarik nafas dan melaungkan azan. Kalimah suci itu bergema di seluruh sarwa pekan itu. Suaranya yang sayu menusuk ke kalbu orang yang mendengar.
Ketika solat itulah baru Syamsul mendapat jawapannya. Dia sudah tahu mengapa Zaharah membawanya pulang ke Sabak Bernam. Pak Aji ialah imam yang terkenal di pekan ini. Pak Aji juga selalu memberikan kuliah pagi di masjid dan kerap dijemput menyampaikan ceramah di sekolah-sekolah. Oleh sebab itu jugalah Zaharah sentiasa menjaga adab dan santunnya.
Assalamualaikum Pak Aji.” Satu suara menegur Pak Aji sebaik dia habis mengajar Syamsul mengaji.
Waalaikumussalam,” balas Pak Aji seraya menyambut tangan lelaki itu.
“Lama dah tak nampak Pak Aji. Sihatkah?” tanya lelaki itu.
Pak Aji masih tak lekang dengan senyuman di bibirnya. Dia berasa sangat senang kala ini. “Sihat alhamdulillah. Aku mengajar orang di rumah.”
“Siapa? Menantukah?” Lelaki itu bertanya sambil memandang sekilas ke arah Syamsul yang sedang mengemas al-Quran di raknya. Dia memang tidak pernah nampak Syamsul sebelum ini. Dan lelaki itu sememangnya bukan berasal dari pekan kecil di Sabak Bernam ini.
“Eh, tak adalah. Kawan anak aku. Tolong ajar sikit-sikit saja.” Pak Aji tersipu-sipu apabila dikatakan Syamsul itu ialah menantunya. Dia tidak pernah terfikir ke arah itu.

KEBETULAN dua orang abang Zaharah pulang ke tanah air pada minggu terakhir musim cuti Zaharah. Sehari sebelum Zaharah pulang ke kampus, mereka sekeluarga menghabiskan masa berkelah di taman rekreasi berdekatan dengan rumah mereka.
“Abang Long dengan Abang Ngah tak nak cakap nak balik. Adik dah nak balik dah,” ucap Zaharah dengan nada manja.
“Alahai, kasihannya adik abang. Kami pun tak rancang nak balik. Bila tahu Angah pun cuti, Abang pun cakap nak balik. Adik rindu pada Abang ya?” Abang Long memeluk mesra bahu Zaharah yang sedang membantu ummi menyediakan makanan di atas tikar.
“Mestilah.” Zaharah terus mengalihkan tangan Abang Longnya yang melambat-kan pergerakannya. Lalu, disumbatkan sandwic ke dalam mulut Abang Longnya. Abangnya yang sulung ini yang melanjutkan pelajaran di Ireland. Manakala, abangnya yang kedua menyambung pengajiannya di Jepun dalam bidang Kejuruteraan. Hanya dia saja yang belajar di dalam negara. Dia tidak mahu berpisah daripada kedua orang tuanya yang sangat menyayanginya. Sudah tentulah kerana dia adalah anak bongsu dan anak gadis tunggal dalam keluarganya.
“Adik nampaknya dah ada abang baru...” Abang Ngah menyampuk dari belakang. Sejurus selepas dia habis berkata, tubuhnya menjadi mangsa balingan bantal daripada Zaharah.
“Mana ada!” Zaharah menyuakan garpu ke arah abangnya.
“Adik jangan main-main dengan garpu. Tajam tu.” Ummi memarahi Zaharah yang seolah-olah hendak bermain pedang dengan Abang Ngahnya.
“Ummi tengok Abang Ngah...” Zaharah segera meletakkan kembali garpunya ke dalam bekas. Mujur saja Syamsul sedang berjalan jauh dari tempat mereka sedang menyiapkan makanan. Jika tidak, pasti lelaki itu akan membocorkan apa yang berlaku antara mereka sebelum dia pulang tempoh hari. Dia tidak mahu bersama lelaki itu walaupun dia hidupnya sudah dipenuhi cahaya keimanan sekalipun. Adakah Zaharah terlalu memilih?
Abang Long mendekati Syamsul yang jauh termenung di hujung taman. Pandangannya dilemparkan jauh ke dalam kolam. Entah memikirkan apa.
“Jauh termenung,” tegur Abang Long dari belakang.
Syamsul terus kembali berpijak di bumi yang nyata. Dia tersipu-sipu tatkala ditegur sebegitu. “Tak adalah.”
“Aku dah dengar cerita kau daripada walid semalam.” Abang Long memulakan bicara, cuba memancing perbualannya, sekali gus mengorek rahsia Syamsul yang tersimpan kemas di dadanya. 
Entah kenapa hati Syamsul dibalut debar. Dia tidak tahu apakah yang bermain di fikiran lelaki di sebelahnya. Dia pasti lelaki itu hebat mengecamnya atas sebab dia yang berperangai buruk sebelum ini.
“Setiap orang mampu berubah. Kalau tidak menjadi yang terbaik pun sekurang-kurangnya jadilah yang lebih baik,” ucap Abang Long seperti sudah mengagak apa yang berlegar di benak Syamsul. Dia tiba-tiba menoleh dan mengulum senyuman kepada Syamsul.
Syamsul jadi pelik.
“Kau ada hati pada adik aku?” Soalan itu keluar secara terus dari mulut Abang Long. Sejak dia pulang semalam, dia sudah dapat mengagaknya. Tapi, dia hanya diamkan saja.
Syamsul tertunduk malu. Tiada sebarang kata yang boleh dia luahkan. Dia kalah dalam peperangan menentang hatinya sendiri. Dia tidak mampu berbohong pada dirinya sendiri. Dia telah mencicirkan kasihnya kepada Zaharah.
“Kalau kau ikhlas menyayangi dia, aku yakin aku, Angah, walid mahupun ummi sudi terima kau.” Abang Long memberikan Syamsul sokongan. Dia sangat mengenali adiknya yang tunggal itu. Dia memang tidak betah dengan lelaki. Setakat kawan biasa saja dia masih boleh bertahan.
“Tapi, perjalanan hidup kau berdua masih terlalu jauh. Berusahalah ke arah kejayaan yang hakiki di akhirat kelak. Orang yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai pedoman. Lebih-lebih lagi orang macam kau. Andai hidup kau bergelumang ketidakpastian dan kekalutan, carilah ketenangan dengan mengingati Allah. Allah tidak pernah lupa hamba-Nya. Kita saja yang terkadang alpa pada-Nya. Cendekiawan ada berkata, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Kalau kau tak kenal Tuhan, kau bukan manusia yang baik,” nasihat Abang Long lagi. Sedari kecil lagi dia diasuh mengenal Tuhan dan agama oleh walid sendiri.
Syamsul masih membatu dalam duduknya. Dia akur akan setiap patah kata yang terbit dari bibir lelaki di sebelahnya itu bukanlah omong-omong kosong.
“Kadang kala kita meminta kepada Allah setangkai bunga segar, tetapi Dia memberi kita kaktus berduri. Kita meminta kupu-kupu, tapi diberi-Nya ulat. Kita sangat kecewa dan sedih tetapi berkat kesyukuran dan kesabaran, tak lama kemudian kaktus itu berbunga indah sekali dan ulat itu menjadi seekor kupu-kupu yang sangat cantik. Begitulah cara Allah mengasihi hamba-Nya. Biasanya yang indah itu akan tiba pada waktunya.”

SATU anjakan paradigma berlaku sebaik musim cuti tamat dan semua mahasiswa dan mahasiswi kembali ke kampus. Semua orang kagum dengan perubahan yang berlaku pada Syamsul. Malah Syamsul akan memarahi sesiapa saja yang memanggilnya dengan nama Sue lagi.
“Zaharah aku nak minta tolong boleh?” kata Syamsul pada suatu hari. Ketika itu Syamsul baru habis menunaikan solat Asar di surau kampusnya. Hari ini dia perlu menghadiri kuliah yang agak lama. Kebetulan sewaktu dia keluar dari surau, dia terlihat kelibat Zaharah.
Zaharah mengangkat muka. “Apa dia?” jawabnya acuh tak acuh.
“Aku nak minta tolong kau tengok aku mengaji,” pintanya sambil menunjukkan al-Quran yang dibawanya di dalam tangan kanannya.
Hati Zaharah diselubungi oleh satu perasaan yang sukar ditafsirkan sebaik permintaan itu menyapa telinganya. Zaharah menganggukkan kepalanya sambil berjalan ke arah meja batu yang berdekatan.
Syamsul tersenyum senang. Dia menimbang tara di dalam hatinya bahawa Zaharah sudah tidak marah lagi padanya. Bermakna masih ada masa lagi untuk dia berbaik dengan Zaharah sebelum semester terakhir ini tamat.

MENUNGAN Zaharah melangit. Dia mencari ketenangan di atas bumbung fakultinya. Itulah yang dilaziminya untuk menenangkan fikiran yang kusut dengan pelajaran dan masalah dengan melalaikan diri menikmati alam ciptaan Allah ini. Alam hijau dicoret oleh cat alam semula jadi sememangnya mententeramkan jiwanya yang dirudung masalah.
“Hai.” Tegur suatu suara
Hampir luruh jantungnya sebaik disergah tanpa salam itu. Mujurlah jantungnya tersimpan kemas di dalam dadanya. Masih boleh berdegup tenang tanpa berlumba-lumba. “Mana kau tahu aku di sini?”
Syamsul mengukir senyuman manis sehingga menampakkan lesung pipitnya yang mampu menggetarkan jiwa wanita milik Zaharah. Terus tertunduk wanita itu.
“Bukankah kau selalu duduk seorang diri di sini sambil menenangkan fikiran?” Sebaliknya Syamsul bertanya semula. Sepanjang hampir empat tahun dia mengenali Zaharah, dia sudah arif ke mana akan Zaharah pergi jika jiwanya dikurung masalah yang tidak berpenghujung.
“Aku nak minta maaf atas apa yang aku katakan sebelum cuti tempoh hari. Aku bingung waktu tu. Aku cuma melakukan apa yang lelaki lain lakukan dan tak melanggar fitrah manusia seperti dulu. Aku harap kau tak marah pada aku lagi,” ujarnya perlahan. Pandangannya  kembali menerjah biru langit pada petang itu. Sepanjang dia tinggal di rumah Zaharah, langsung Zaharah tidak bercakap dengannya. Jika ada pun hanya apabila perlu sahaja.
“Tak apalah. Aku juga mahu meminta maaf atas penghinaan aku. Aku marah waktu tu.” Zaharah merendahkan egonya memohon kemaafan daripada Syamsul.
Syamsul tersenyum lagi. “Tak apa. Kalau bukan sebab tu, mungkin sekarang ni aku masih lagi lelaki yang tidak sedar diri. Terima kasih atas segalanya. Kau menyedarkan aku betapa pentingnya mengenal Tuhan dan kau membantu aku mencari mutiara yang jauh ke dalam lautan hati aku. ”
Zaharah menggeleng lambat-lambat. Matanya masih lagi memandang jauh ke wajah petang dari atas bumbung itu. Angin petang menampar lembut wajahnya. “Aku dan walid cuma menolong apa yang kami termampu. Kau yang berusaha dan hasilnya kau sendiri yang rasa.”
Syamsul teragak-agak tapi dia mengangguk juga. Jika bukan kerana mereka berdualah Syamsul sudah menjadi Syamsul dan bukan lagi Sue. Syamsul mendongak ke langit mencari jawapan. Dia sudah mendapat mutiara yang jauh tersepit di satu ceruk di dalam lautan hatinya yang dalam berliku. Tidak akan dia melepaskannya begitu saja. Itulah mutiara hidayah yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya.

1 comment:

  1. salam

    ini aku tingalkan wasiat untuk kau jejak..
    hehehe...
    http://nurimansakinah.blogspot.com/

    jangan tak jejak pula, ye!
    nanti ziarah2 sekali yg seangkatan dekat sebelah kiri blog tu...

    ReplyDelete